Tuesday 18 September 2018


“PERANAN MURID DALAM MEMBENTUK SAHSIAH DIRI YANG TERPUJI”.
       Remaja merupakan pemangkin kemajuan sesebuah negara. Masa depan sesebuah negara itu berada di tangan mereka. Merekalah yang akan menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja, maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat diperlukan untuk membentuk sesebuah negara yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak dan moral remaja semakin menjadi-jadi pada hari ini. Antara sedar dan tidak, gejala semakin kritikal dari hari ke hari. “Tend-trend” songsang yang tumbuh “seperti cendawan selepas hujan” menandakan gejala ini semakin teruk.
       Disini, saya ingin menyentuh peranan individu/murid/remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji dalam membendung masalah gejala yang tidak diingini berlaku. Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji perlulah mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul.
         Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein  (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt.
        Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber  primer bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri dalam membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan murid yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji.
     Selain itu, murid hendaklah menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri kita. Kerana sesudah kita dilahirkan di muka bumi ini, kita ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa, bermula dengan ibu yang mengandungkan dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada kita.
      Janganlah hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika tidak bersetuju sekalipun, jangan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah  berbincanglah dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa.
       Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud  : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan murid-murid  individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
       Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat dilaksanakan adalah dengan cara menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya murid hendaklah menghormati guru-guru sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga sehingga mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang baik dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang kita lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”.
      Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi.
        Dalam pada itu, murid-murid perlulah menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, murid hendklh menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Berkawanlah dengan seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain.
       Peranan yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak boleh melakukan perkara yang negatif yang mampu  keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas antara lelaki dan wanita serta menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar”.
      Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin izin Yang Maha Kuasa, anak-anak dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri  mampu menjadikan seorang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka boleh dijadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Janganlah melakukan sesuatu yang tersasar daripada landasan yang benar sebaliknya lakukanlah pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan  akidah agar terus menjadi pegangan perjalanan hidup. Semoga bermanfaat. Sekian T.kasih