“PERANAN MURID DALAM
MEMBENTUK SAHSIAH DIRI YANG TERPUJI”.
Remaja merupakan pemangkin kemajuan sesebuah negara. Masa depan sesebuah
negara itu berada di tangan mereka. Merekalah yang akan menggantikan generasi
terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja, maka eloklah masa depan
sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka rosaklah masa depan sesebuah
negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat diperlukan untuk
membentuk sesebuah negara yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak dan moral
remaja semakin menjadi-jadi pada hari ini. Antara sedar dan tidak, gejala
semakin kritikal dari hari ke hari. “Tend-trend” songsang yang tumbuh “seperti
cendawan selepas hujan” menandakan gejala ini semakin teruk.
Disini,
saya ingin menyentuh peranan individu/murid/remaja dalam membentuk sahsiah diri
yang terpuji dalam membendung masalah gejala yang tidak diingini berlaku. Sebagai
seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji perlulah mendalami
ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri
seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia
melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul.
Perkara
ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains
yang terkenal iaitu Albert Einstein
(walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat
bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang
mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan
merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt.
Akhlak Rasulullah yang terpuji dan
sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi
sumber primer bagi membina pemahaman
yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Nilai-nilai
seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab
semuanya memandu diri dalam membina peribadi mulia . Pengajaran daripada
Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan murid yang sebelum ini
yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau
terpuji.
Selain itu, murid hendaklah menumpahkan
ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling
dekat dengan diri kita. Kerana sesudah kita dilahirkan di muka bumi ini, kita
ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu
bapa, bermula dengan ibu yang mengandungkan dengan jerih payahnya selama
sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus
lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi
tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada kita.
Janganlah hidup menjadi seperti Si
Tanggang atau Si Malim Kundang yang
merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Taat kepada ibu bapa dengan cara
mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka
dan hati yang lapang. Jika tidak bersetuju sekalipun, jangan memberontak dan
meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah berbincanglah dengan cara yang paling baik
atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai
dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Allah telah memberikan
kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada
mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk
ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa.
Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib
ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri
kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga.
Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang
bermaksud : “Sesiapa yang ingin
dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada
ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu
bapa mampu menjadikan murid-murid individu yang mempunyai sahsiah diri yang
terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
Di samping itu, prakarsa ataupun peranan
lain yang dapat dilaksanakan adalah dengan cara menghormati guru-guru. Sepanjang
pembelajaran saya murid hendaklah menghormati guru-guru sebagai tanda terima
kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga
sehingga mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang baik
dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak
berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira.
Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang kita lakukan malah membetulkan
setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan iaitu, ‘Usah
merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan
yang lebih baik”.
Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam
mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih
payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di
dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di
sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini
tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang
ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi.
Dalam pada itu, murid-murid perlulah menjalinkan
hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya,
seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya
berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain
keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah
perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, murid hendklh menjaga atau
memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan berlainan
agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang
terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kita digalakkan
mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar
seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Berkawanlah dengan seseorang yang
dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang
lain.
Peranan yang terakhir adalah dengan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara
yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah
diri yang terpuji tidak boleh melakukan perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej
diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Akhlak yang baik termasuklah
menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat,
menjaga batas-batas antara lelaki dan wanita serta menjaga hubungan baik sesama
individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat
penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang
sebenar”.
Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk
memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab
besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang
berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin izin Yang
Maha Kuasa, anak-anak dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan
sahsiah diri mampu menjadikan seorang beriman
dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai
kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah
saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka boleh dijadikan pedoman dalam meniti
kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap
hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak
pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Janganlah
melakukan sesuatu yang tersasar daripada landasan yang benar sebaliknya lakukanlah
pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan
akidah agar terus menjadi pegangan perjalanan hidup. Semoga bermanfaat.
Sekian T.kasih
No comments:
Post a Comment